
| Salahkah Kita Menoleh ke Belakang Sebagai Petunjuk ke Hadapan? |
|
|
|
| Written by Shamsudin bin Ibrahim | |||||
| Wednesday, 16 December 2009 14:19 | |||||
|
Salahkah Kita Menoleh ke Belakang Sebagai Petunjuk ke Hadapan? Nur Azimah Mahmood
Pemergian saya ke Kursus Biro Tatanegara (BTN) pada 18 hingga 22 Jun 2009 dengan penuh semangat dan rasa ingin tahu terbalas dengan kesan yang begitu mendalam. Saya tidak pernah mengikuti sebarang Kursus Biro Tatanegara atau Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebelum ini. Pelbagai reaksi, pandangan dan pendapat rakan-rakan yang telah mengikutinya di pelbagai kem di sekitar Malaysia sehingga ada yang menakutkan dengan mengatakan, “habislah, nanti kena brain wash”. Mentaliti sebegini memperlihatkan ramai yang pergi sekadar mengisi dan memenuhi kehendak organisasi untuk mengesahkan jawatan tetap yang disandang. Walau apa pun, bagi saya objektif kursus kenegaraan untuk memberi pendedahan dan membentuk ketahanan diri anggota perkhidmatan awam dari segi fizikal dan mental serta meningkatkan semangat patriotisme, di samping memberi penjelasan tentang pengurusan disiplin dan pembentukan sahsiah anggota perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas sememangnya tercapai.
Dua modul yang diketengahkan iaitu ‘Sejarah Kebangkitan Negara’ serta ‘Kesetiaan kepada Raja, Kerajaan dan Negara’ membuka mata dan minda tentang betapa pentingnya sejarah Malaysia dihayati dan diketahui. Diselangi dengan filem ‘Hati Malaya’ oleh Shuhaimi Baba yang memaparkan kesungguhan dan kepayahan pemimpin seperti Dato’ Onn dan tokoh-tokoh lain dalam mencapai kemerdekaan Tanah Melayu pada masa itu sungguh menginsafkan. Betapa bertuahnya anak-anak yang lahir selepas bumi Tanah Melayu merdeka daripada cengkaman penjajah. Kem bina negara ini juga bukan sekadar mengimbau kembali sejarah perjuangan kemerdekaan, bahkan menekankan kepentingan nilai agama dan moral yang membentuk disiplin di kalangan pesertanya. Apa yang menarik perhatian saya adalah kem ini bukan seperti yang diperkatakan oleh kebanyakan orang dan bukan apa yang saya fikirkan selama ini di mana pemarkahan dibuat berdasarkan aktiviti yang kita lakukan. Sebaliknya markah penuh telah diberikan kepada setiap peserta dan individu tersebut yang bertanggungjawab terhadap markah mereka sendiri sama ada akan dikurangkan atau dikekalkan bergantung kepada penglibatan dan tahap disiplin yang ditunjukkan. Cara pemarkahan begini sememangnya mengajar peserta bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya. Keberkesanan aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh seminggu terserlah dengan perubahan sikap dan semangat kami sekembali dari kem tersebut dalam menjalankan tugas seharian seawal 5 pagi kerana sudah terbiasa di sana. Pengalaman berguna dan dampak positif yang saya dan rakan-rakan peroleh di sana mungkin tidak akan lagi dirasai oleh rakan-rakan yang baru menyertai jabatan kerajaan jika ura-ura supaya Kursus Biro Tatanegara dimansuhkan benar-benar terjadi. Sangat membimbangkan kini juga apabila ada suara-suara nyaring membangkang, mengutuk dan mengharamkan mana-mana pegawai kerajaan di negeri-negeri berkenaan daripada menyertai kem bina negara ini. Dengan alasan, kem ini meracuni pemikiran pesertanya. Amat menggusarkan lagi apabila melihat kecintaan terhadap tanah air semakin terhakis terutama di kalangan generasi muda walaupun kem bina negara masih wujud. Ada di kalangan mereka bukan sahaja tidak tahu menyanyikan lagu kebangsaan, ada yang sanggup dengan tiada rasa bersalah membakar bendera negara sendiri. Digemparkan lagi dengan kes mempersenda lagu kebangsaan dengan menukar iramanya sebagai bahan gurauan oleh seorang rakyat Malaysia yang belajar di luar negara. Perbuatan seperti ini yang dilihat membenci negara sendiri barangkali diteladani daripada sikap buruk yang ditunjukkan oleh mereka yang lebih dewasa. Apa tidaknya, ada di kalangan golongan dewasa dengan lantang mempertikai kuasa dan kedaulatan Raja yang cuba dipertahankan oleh pahlawan-pahlawan terdahulu setelah ia diperbodoh dan dipermainkan oleh penjajah selama hampir 500 tahun sebelum ini. Ada juga dengan senang dan baik hati, atas dasar kemanusiaan kononnya ingin memaafkan Chin Peng, ikon komunis yang kejam dan mahu membawanya pulang ke tanah air. Saranan ini sememangnya tidak mengambil kira sensitiviti majoriti rakyat Malaysia. Tidakkah mereka sedar cadangan ini terang lagi bersuluh mengguris parut luka lama terutama bagi mereka yang terlibat secara langsung atau ahli keluarga mangsa kekejaman pendukung komunis sehingga negara diisytihar darurat pada Jun 1948. Apa perasaan mangsa-mangsa ini yang akhirnya menjadi orang kurang upaya yang seharusnya diberi pembelaan, bukannya Chin Peng dan sekutunya yang menzalimi bangsa kita dahulu. Nyata mereka ini didorong atas gelojak cauvinis kaum semata-mata tanpa mempedulikan keharmonian bermasyarakat. Masyarakat kini sememangnya sering alpa dengan perjuangan mereka yang terdahulu yang sanggup menghadapi apa saja kemungkinan risiko berhadapan dengan penjajah. Para pelopor dan pejuang ini dizalimi secara mental, psikologikal dan fizikal. Kemakmuran tanah air kita dirompak dan dilarikan ke negara penjajah. Tidak cukupkah penderitaan yang dialami nenek moyang kita di zaman penjajahan Portugis, Belanda, British, Jepun dan Komunis? Sedarlah wahai rakyat Malaysia betapa kita perlukan suatu modul dan kem yang sentiasa mengingatkan kita tentang perjuangan terdahulu sebagai lampu suluh yang memandu kita melangkah ke hadapan; kerana jika kita terus leka, sejarah suram mungkin akan berulang.
Nur Azimah Mahmood Penolong Pendaftar Pejabat Perhubungan Awam & Korporat Aras 2, Bangunan Canselori 43600 UKM Bangi +603-89213788
Only registered users can write comments!
Powered by !JoomlaComment 3.26
3.26 Copyright (C) 2008 Compojoom.com / Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved." |
|||||
| Last Updated on Wednesday, 16 December 2009 14:41 |



